Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan rundingan semula perjanjian projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditangani tanpa sebarang syarat supaya China menyerahkan ahli perniagaan dalam buruan kerajaan Jho Low.

"Ini tiada kena mengena dengan Jho Low. Tetapi sudah tentu kita minta bantuan kerajaan China (berhubung Jho Low), " katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pagi tadi.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Putrajaya mengambil kesempatan daripada perjanjian tersebut untuk menekan Beijing supaya mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

Pada 12 April lalu, adalah dilaporkan bahawa projek berkenaan akan disambung semula susulan permeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Walau bagaimanapun, kos pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 telah dikurangkan kepada RM44 bilion, iaitu RM21.5 bilion kurang daripada kos asal RM65.5 bilion.

Terdahulu, adalah dilaporkan bahawa Jho Low, yang menjadi buruan berhubung dengan skandal 1MDB dikatakan bebas bergerak di China.

Ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu telah didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah di negara ini berhubung skandal 1MDB.