Pembelian aset pertahanan negara, seperti semua perbelanjaan kerajaan, perlu mengikut kemampuan kewangan bagi mengutamakan usaha menyelamatkan institusi bumiputera seperti Tabung Haji (TH) dan Felda, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu

Jelas Mohamad, meskipun peruntukan perbelanjaan untuk kementeriannya di bawah Belanjawan 2019 tidak terjejas dan masih mendapat belanjawan tambahan, perbelanjaan untuk membeli aset pertahanan negara hanya akan dibuat mengikut keperluan.

"(Perbelanjaan aset pertahanan) ikut keperluan dan kemampuan kewangan.

"Banyak wang digunakan untuk selamatkan institusi yang hancur - Tabung Haji dan Felda - meskipun kerajaan PH diserang (sebagai) tak peduli hal bumiputera.

"Kalau tak selamatkan (institusi-institusi ini), akan berlaku malapetaka ekonomi bukan hanya kepada Felda dan Tabung Haji tapi kepada Malaysia itu sendiri," kata Mohamad dalam wawancara bersama media di pejabat Kementerian Pertahanan, semalam.

Kerajaan PH memperuntukkan RM6.3 bilion untuk menyelamatkan Felda dan RM17.8 bilion pula diperuntukkan untuk membantu Tabung Haji.

Kerajaan berkata, perkara itu perlu dilakukan akibat salah urus kedua-dua institusi itu di bawah pentadbiran BN.

Bagaimanapun, jelas Mohamad dalam wawancaranya, Kementerian Pertahanan masih mampu memperuntukkan lebih RM79 juta untuk bantuan RM500 sempena hari raya kepada veteran tentera dari kalangan kumpulan B40.

Tambah pemimpin Amanah itu, kementeriannya menerima belanjawan tambahan untuk memperoleh bot laju pemintas (FIC). Proses pembelian masih sedang berjalan, katanya.

Mohamad menjangkakan kewangan negara akan bertambah baik dalam masa akan datang dan berkata pelaburan asing setakat ini menggalakkan.