SEREMBAN – Sebanyak 13 buah motosikal musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta pusat beli-belah Terminal 1 di sini petang ini.

Dalam kejadian itu, tiga buah lagi motosikal rosak akibat terbakar separuh bahagian kerana disambar api.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 1.40 petang di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Katanya, seramai 18 anggota dari balai bomba Seremban bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, kami dapati api sedang marak dan telah memusnahkan 13 buah motosikal manakala tiga lagi turut rosak,” katanya menerusi satu rakaman.

Ahmad Mukhlis berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian akibat kebakaran itu masih disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – MalaysiaGazette