Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepatutnya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara-perkara di luar pengetahuannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Dr Mahathir tidak mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tetapi perdana menteri tidak berselindung memberikan nasihatnya kepada pewaris takhta itu.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai sultan kerana sekiranya saya mengatakan apa-apa yang tidak baik, maka ia tidak elok kerana baginda ialah seorang sultan.

"Tetapi TMJ (Tunku Ismail) ini seorang budak ... Dia ini 'kurang cerdik' kerana dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Jadi jangan cakap, kalau kamu tidak tahu apa-apa, jangan berkata-kata," jelasnya ketika wawancara khas bersama media di Putrajaya petang ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail bahawa perbuatan baik ayahnya, seperti memberi tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.

Kenyataan putera mahkota itu datang selepas suatu laporan mengenai sebidang tanah persekutuan yang diperuntukkan untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) telah dipindah milik ke atas nama sultan.

Sultan Ibrahim sejak itu mengatakan bahawa baginda bersedia untuk menyerahkan kembali tanah itu tanpa kos.