Lim Guan Eng menghadapi tahun pertama yang mencabar sebagai menteri kewangan.

Walaupun berkata telah mencapai hampir semua sasaran, beliau membangkitkan dua perkara yang ingin dilakukannya tetapi tidak terlaksana.

"Saya mahu lakukannya tetapi kita tiada kemampuan (means), pertama ialah mencipta lebih banyak pekerjaan terutama kepada graduan.

"Pada masa sama untuk menyemak dan malah mengurangkan kos sara hidup agar rakyat ada kuasa beli yang lebih tinggi.

"Kami berharap dapat melakukannya dalam belanjawan akan datang. Kita boleh wujudkan pekerjaan, terutama untuk graduan menganggur," katanya dalam wawancara bersama media di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata mahu mengalihkan tumpuan kerajaan daripada projek mega kepada rakyat biasa.

"Saya penat dan bosan dengan 1MDB. Boleh tak kita fikir pasal satu Malaysia, bukan 1MDB? Malaysia yang ada pekerjaan, kuasa beli yang lebih tinggi dan kos sara hidup rendah," katanya.

Tetapi Lim tampak bangga ketika menyenaraikan pencapaian kerajaan sepanjang setahun mentadbir.

Beliau berkata kerajaan berjaya menggantikan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) "tanpa menbankrapkan negara".

Beliau juga bangga dengan kerajaan yang telah memulakan pembayaran balik tunggakan GST dan cukai pendapatan.

Satu lagi pencapaian, katanya, ialah kemampuan kejayaan mengekalkan keadaan ekonomi yang baik.