Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

“Kita ambil maklum bahawa pihak Orang Asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini, kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data, data itu kita mesti adakan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

“Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon yang layak bagi program itu.