Kementerian Pengangkutan tidak berganjak dengan keputusan bahawa pemilik kereta persendirian boleh menggelapkan sepenuhnya cermin belakang dan sisi kiri dan kanan penumpang, meskipun mendapat tentangan beberapa pihak.

Menterinya Anthony Loke berkata, keputusan tersebut telah mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk dari pihak polis yang dinyatakan ketika bengkel khas mengenai perkara itu pada Jun 2014.

Justeru, katanya, Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 kekal terpakai.

"Pengumuman saya sebelum ini mendapat reaksi pelbagai masyarakat, ada yang sokong dan ada yang tak setuju. Kita raikan perbezaan pendapat.

"Tetapi keputusan tersebut telah mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum pindaan dibuat khususnya daripada bengkel yang diadakan sebelum ini.

"Majoriti peserta bengkel yang disertai pelbagai agensi termasuk polis yang setuju untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus masih dihormati," katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini.

Anthony berkata demikian sebagai menjawab maklum balas orang ramai berhubung keputusan kementeriannya yang diumumkan dua hari lalu.