Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata rang undang-undang (RUU) untuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentang di Parlimen tahun ini.

Beliau berkata, pembentangan itu akan membolehkan IPCMC dibentuk sebelum akhir tahun ini.

"Penggubalan RUU IPCMC yang kita sudah mulakan akan diselesaikan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed telah menjawab kerisauan yang dibangkitkan pihak polis dalam satu pertemuan Jumaat lalu.

Antara kerisauan yang dibangkitkan ialah sekitar isu kuasa polis, hak membuat rayuan dan perkara berkaitan disiplin.

"Ia tidak seperti yang digambarkan dulu, seolah-olah polis tiada kuasa langsung. Skop autoriti IPCMC sudah dijelaskan (dalam pertemuan itu).

"Wakil polis termasuk pegawai dan lain-lain telah dengar penjelasan itu dan mereka berpuas hati," katanya lagi.

Pada masa sama, katanya lagi, GIACC akan merangka kertas kabinet berkenaan IPCMC untuk dibincang dan diluluskan.