Lelaki yang tular dalam sebuah video yang menunjukkannya diikat serta disiram air atas tempat mandi jenazah oleh penduduk kampung diserahkan kepada pihak polis kerana disyaki cuba memecah tabung Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Sungai Tiram, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, suspek berusia 26 tahun itu diserahkan kepada anggota polis yang sedang menjalankan rondaan kira-kira 10 pagi, semalam.

“Semasa anggota peronda membuat tugas rondaan telah menerima maklumat menyatakan ada tangkapan telah dibuat oleh orang awam ke atas seorang lelaki yang cuba memecah tabung di Surau At-Taqwa.

“Penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan mendapati suspek dipercayai telah masuk dan cuba memecah tabung surau berkenaan tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek juga mempunyai satu rekod jenayah atas kesalahan curi.