Bersih mencadangkan agar menteri dan kakitangan awam yang menjadi pemimpin parti politik supaya mengambil cuti sekiranya ingin berkempen dalam apa juga pilihan raya ketika hari bekerja.

Cadangan itu dikemukakan badan pemantau pilihan raya berkenaan sebagai respon terhadap kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan peraturan itu memberi kelebihan kepada pembangkang yang "tidak bekerja" untuk berkempen.

Selain mencadangkan supaya mengambil cuti, Bersih juga mencadangkan:

- Satu-satunya aset kerajaan bagi seorang menteri yang dibenarkan untuk digunakan semasa berkempen adalah kenderaan rasmi, pemandu, dan beberapa kakitangan keselamatan dalam jumlah yang munasabah.

- Perdana menteri dibenarkan menggunakan pesawat kerajaan jika parti atau gabungan itu membayar tambang kelas pertama untuk perdana menteri dan rombongannya.

- Menggalakkan Pakatan Harapan melaksanakan pembiayaan awam untuk parti politik berdasarkan jumlah undi yang diterima mereka.

- SPR melaksanakan kuasa perlembagaannya untuk menghasilkan kod tatalaku yang komprehensif merangkumi fungsi kerajaan dan kerajaan sementara semasa pilihan raya.

Semalam, Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan SPR mengenai penggunaan aset kerajaan.

Mahathir berkata disebabkan sekatan itu, beliau terpaksa menyewa helikopter sendiri untuk digunakan semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Sambil memuji tindakan Mahathir yang menyewa helikopter sendiri, Bersih menegaskan SPR perlu tegas dalam melaksanakan peraturannya terhadap kerajaan.

Ini penting untuk mengelak persepsi bahawa suruhanjaya itu dikawal oleh perdana menteri.

Bersih menjelaskan peraturan tersebut adalah selaras dengan amalan di negara seperti Australia, Kanada, dan Ireland.