Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyifatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dalam memberikan liputan kepada semua pihak termasuk jemaah menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata dakwaan bahawa RTM tidak membuat liputan untuk program kerajaan negeri adalah tidak benar.

"Saya telah meneliti aduan tersebut dan dakwaan bahawa RTM Sarawak bertindak tidak adil dalam memberikan liputan kepada ketua menteri, menteri dan program kerajaan negeri tidak benar.

Ini kerana dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, RTM telah membuat liputan 181 aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri-menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak, yang disiarkan melalui pelbagai platform RTM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Ramadan anjuran Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), di Shah Alam malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor.

Gobind berkata RTM diberikan kebebasan untuk membuat liputan selaras dengan dasar kerajaan yang memperjuangkan kebebasan media.

"Saya tidak akan arahkan RTM untuk lakukan sesuatu perkara kerana saya rasa ini bertentangan dengan pendekatan yang kita ambil.

"Kita juga tidak halang RTM daripada membuat liputan acara Kerajaan Negeri Sarawak, sekiranya ada masalah mereka boleh berjumpa pengarah RTM negeri atau tulis surat kepada kita," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan rasa kecewa kerana program kerajaan negeri kurang mendapat liputan daripada RTM. - Bernama