Malaysia secara rasminya telah dikeluarkan daripada senarai penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui penarikan Malaysia daripada Statut Rom berikutan notis awal dari Kementerian Luar Negeri.

"Pemberitahuan yang diterima daripada Menteri Luar Negeri Malaysia berbunyi seperti berikut: '... Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrument Of Instruction daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 5 April 2019.

"Oleh itu, Malaysia membatalkan semula surat penyertaannya dan penarikan ini akan berkuatkuasa serta merta.

"Meskipun demikian, Malaysia tetap komited terhadap kedaulatan undang-undang untuk mengadili para pelaku pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang; dan jenayah pencerobohan.

"Ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan baru untuk menguatkan prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban," kata kenyataan PBB yang memetik notis penarikan balik Malaysia .

Semalam, nama Malaysia masih disenaraikan dalam senarai penandatangan Statut Rom di laman web PBB.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra berkata Malaysia kesal kerana masih disenarai sebagai negara yang meratifikasi statut berkenaan seperti disiarkan di laman web PBB, meskipun telah mengemukakan surat penarikan.

Malaysia menarik diri daripada Statut Rom pada 5 April selepas mendapat bantahan daripada orang awam dan pembangkang selain gagal mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.