Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berharap lebih banyak organisasi berkaitan zakat dan syarikat korporat dapat memberikan sumbangan zakat dalam bentuk buku kepada golongan asnaf.

Katanya, sumbangan zakat yang diberikan kepada golongan seharusnya bukan sekadar dalam bentuk bantuan kewangan dan makanan semata-mata, tetapi juga bantuan pendidikan.

“Antara perkara asas berkaitan pendidikan adalah buku," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Pelancaran Program Zakat Semarak Ilmu di Putrajaya hari ini.

Program itu melibatkan pengagihan tajaan dalam bentuk buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bernilai RM700,000 kepada 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia merupakan usaha sama antara ITBM, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program zakat itu direalisasikan daripada saranan yang disuarakan Maszlee semasa Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan pada Disember tahun lalu.

Majlis pada petang tadi turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Maiwp, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah.