Peguam Syazlin Mansor mendedahkan bahawa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kerana terdapat perkembangan baru.

Beliau walau bagaimanapun enggan menghuraikan butirannya.

Menurut Syazlin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menghubunginya pada Jumaat lalu, dan mereka berjumpa sehari kemudian.

"Saya berjumpa menteri pada hari Sabtu dan kami membincangkan perkara itu.

"Selepas menimbang kebaikan dan keburukan, saya memutuskan untuk menarik balik," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa beliau terlibat dalam inkues itu secara pro bono atau tanpa bayaran.

"Ini keputusan saya sendiri," kata Syazlin ketika ditanya sama ada beliau diarahkan untuk menarik diri.

Syazlin, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, mengumumkan penarikan dirinya di Mahkamah Koroner, Shah Alam pagi ini.

Beliau tidak menyatakan alasannya berbuat demikian dan enggan mengulas apabila ditemui pemberita kemudian.

Terdahulu, Syazlin berkata dengan penarikan dirinya, beliau percaya tindakan memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, akan terbatal.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Adib, 24, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.