Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin mereka akan berjaya melaksanakan perubahan yang memuaskan dalam badan yang dibebani hutang itu.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata beliau faham tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak yang terlibat kerana kemahuan masing-masing adalah berbeza.

"Saya sedar ia bukan mudah untuk memenuhi kehendak semua pihak.

"Ada satu pihak nak kita macam ini, pihak lain juga nak macam lain, tapi insya-Allah kita akan usahakan untuk membina satu konsensus nasional (mengenai PTPTN)," katanya dalam ucapan di majlis berbuka puasa dengan media di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ditemui media selepas itu Wan Saiful berkata, konsensus boleh dijayakan dengan langkah pertama untuk mendapatkan pandangan semua pemegang taruh (stakeholders) keutamaan mereka.

Sebagai contoh, katanya, sesetengah peminjam tidak mahu dibebankan oleh hutang manakala kumpulan pemegang taruh berkeras mahu ia dilunaskan bagi memastikan kelangsungan dana PTPTN.

"Saya rasa cadangan yang dipersetujui sebanyak mungkin pihak yang terlibat boleh dicapai.

"Memang akan ada orang yang tidak bersetuju dan ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat," katanya.

Menurut Wan Saiful, apa yang paling peling ialah PTPTN cuba sebaik mungkin untuk memastikan cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan nanti disokong oleh pandangan orang awam.

Sebelum ini cadangan dikemukakan kepada PTPTN supaya kerajaan menyenarai hitam peminjam culas - seperti yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini - dikecam hebat, termasuk dalam kalangan pemimpin PH.

Ketika isu pinjaman PTPTN diperdebatkan, Wan Saiful berharap lebih banyak pembabitan daripada kalangan ibu bapa dan bakal peminjam menyertai perbincangan tersebut.