Polis telah menahan dua lelaki yang merupakan suspek utama dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah premis kedai di Api-Api Centre, yang tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abd Rakman berkata suspek berusia 67 dan 37 tahun itu ditahan pada Selasa lepas iaitu dua hari selepas kejadian pergaduhan berkenaan.

"Dua suspek berkenaan akan dituduh di mahkamah esok dan polis masih memburu beberapa individu yang turut terlibat dalam kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam satu rakaman CCTV yang tular di media sosial semalam menunjukkan sepasang suami isteri telah dipukul oleh beberapa lelaki di hadapan sebuah kedai di Api-Api Centre.

George berkata kes berkenaan berlaku kira-kira pukul 1 pagi, 2 Jun lepas dan siasatan mendapati mangsa adalah warganegara Pakistan dan telah dipukul oleh sekumpulan individu disebabkan isu pembayaran sewa apartmen.

"Sebelum kejadian itu mangsa yang juga penyewa apartmen berkenaan telah didatangi oleh seorang wanita dan lelaki yang juga pemilik rumah berkenaan.

"Namun hasil perbincangan mangsa dan pemilik rumah berkenaan tidak berjalan lancar dan terjadi pergaduhan mulut, sebelum terjadi pergaduhan yang turut melibatkan bapa dan abang pemilik rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Sumber video: Media sosial