Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata beliau akan terus memberikan khidmat kepada rakyat biarpun wujud desakan supaya mengambil cuti sementara.

Desakan itu dibuat beberapa pihak termasuk kumpulan Otai Reformasi atas alasan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat isu klip video seks sejenis yang dikaitkan dengannya.

Malah beliau yang juga timbalan presiden PKR turut memetik nama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa menjelaskan pendiriannya.

“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, mesej itu sangat kuat dan jelas – iaitu untuk menghentikan politik ini.

"Pihak berkuasa akan terus menyiasat dan saya telah memberikan komitmen saya bahawa kami mahu siasatan diteruskan. Dan saya akan memberikan sokongan dan sepenuh kerjasama,” katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri di Bukit Antarabangsa, Selangor pada Sabtu.

Semalam kumpulan Otai Reformis mendesak supaya Azmin bercuti bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atasnya.

Pengerusi Otai Reformis Dr Idris Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan nama baik kerajaan PH dikekalkan.

Mereka juga mempertikaikan sikap Mahathir berhubung isu video klip didedahkan Ketua Pemuda PKR Santubong dan setiausaha sulit Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Otai Reformasi membandingkan kenyataan Mahathir mengenai klip video didakwa Haziq melibatkan Azmin dengan tuduhan yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim pada akhir 1990-an lalu.

Azmin sudah menafikan beliau adalah lelaki yang berkongsi ranjang dengan Haziq seperti dalam klip video tersebut.

Kata Azmin menjadi tugas kepada beliau dan pemimpin lain PH - sebagai kerajaan - untuk terys menerapkan dasar dan pendekatan baru politik di negara ini.

"Kita perlu mempertahankan politik berasaskan nilai.

"Saya akan tetap fokus sebagai menteri dan saya di sini untuk menyokong dasar perdana menteri.

"Kami akan terus maju untuk terus menyampaikan khidmat kepada rakyat,” katanya.