PKR akan memberikan surat tunjuk sebab kepada Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang disifatkan mencemarkan nama parti.

Haziq diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Pada 12 Jun lalu Haziq tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video seks yang tular.

Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam aksi intim itu adalah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Keputusan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq dicapai selepas biro politik PKR bermesyuarat petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata pihaknya turut mengambil maklum penafian Azmin dan akan meneliti penjelasan sekiranya ada.

Ahmad juga memberi "amaran keras" kepada semua anggota parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada pimpinan parti.

Ditanya tindakan susulan sekiranya Haziq gagal menjawab dalam tempoh 14 hari, Anwar, yang turut hadir pada sidang media itu meminta semua pihak bersabar dan menunggu respons Haziq.

"Sabar. Macam mana anda tahu dia tak akan jawab?" kata Anwar.