Presiden PKR Anwar Ibrahim menyuarakan rasa simpatinya terhadap timbalannya Mohamed Azmin Ali yang dituduh terlibat dalam klip video seks luar tabii.

"Kepimpinan PKR menolak politik kotor (gutter) dan kami menzahirkan rasa simpati terhadap beliau (Azmin) dan keluarganya," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Rabu.

Katnya lagi, nasib yang menimpa Azmin berbeza dengan apa yang beliau lalui pada masa lalu.

"Keadaan dan isunya berbeza," kata Anwar.

Anwar dipenjarakan sebanyak dua kali atas sabitan pertuduhan kes liwat.

Selepas kemenangan PH tahun lalu, Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberikan pengampunan diraja kepada Anwar.

Kenyataan Anwar dibuat selepas berbagai maklum balas di dalam PKR mengenai isu ini termasuklah daripada setiausaha politik presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Mubarak.

“Azmin harus letak jawatan jika bersalah,” katanya yang juga pengerusi PKR Perak.

Sementara itu, penasihat Azmin, Khalid Jaafar pula mengkritik PKR kerana tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Menurut Khalid, perkara itu mencemarkan nama PKR dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

"Kealpaan ini akan dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam PKR, khususnya presiden PKR (Anwar Ibrahim)," katanya.

Pada Rabu, dilaporkan PKR telah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Haziq kerana mengeluarkan kenyataan umum yang menjejaskan imej parti.