Kementerian Industri Utama menamatkan khidmat Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Md Akin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Industri Utama berkata penamatan khidmat itu berkuat kuasa 18 Jun lalu.

Ia susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam klip video seks yang tular minggu lalu selain mendakwa seorang lagi individu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali.

"Pihak kementerian memandang perkara tersebut sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

"Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019," kata kementerian itu hari ini.

Kementerian itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq pada 12 Jun lalu, beberapa jam selepas video pengakuan tersebut. Shamsul kemudian berkata Haziq menjawab surat itu dua hari kemudian.

Dalam sidang media 13 Jun lalu, Shamsul berkata surat itu dikeluarkan atas beberapa sebab, antaranya kerana syarat dalam kontrak Haziq turut menyentuh soal tindakan yang boleh mencemarkan kementerian.

Haziq juga boleh dianggap ponteng kerja (absent without leave) kerana tidak hadir bertugas sejak video pengakuannya, katanya ketika sidang media itu.

Mengulas lanjut, Kementerian Industri Utama berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perilaku yang menjejaskan reputasi dan imej kementerian.

"Dengan penamatan ini, pihak Kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan Haziq Abdullah," katanya lagi.

Terdapat juga desakan agar lelaki berusia 27 tahun itu turut dipecat daripada PKR tetapi pendirian parti itu setakat ini ialah menunggu siasatan polis sebelum mengambil sebarang tindakan.