SPRM akan menyoalsiasat bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein Ahad ini berhubung beberapa siri urusan pertukaran tanah membabitkan kementerian pertahanan (Mindef), kata timbalan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

"Kami ambil kenyataan (bekas timbalan perdana menteri) Ahmad Zahid Hamidi semalam.

"Dan Hishamuddin akan dipanggil (seterusnya). Dia akan datang ke pejabat kami Ahad ini," katanya ketika ditanya oleh media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Hishamuddin menerajui kementerian itu bermula 2013 sehingga BN kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Azam berkata bekas perdana menteri Najib Razak juga mungkin diarah untuk membantu siasatan.

"Kita tidak menafikan bahawa kita mungkin memanggilnya. Dia mungkin terlibat dalam kes itu.

“Belum panggil lagi… sedang kumpul bukti dan ambil keterangan dari yang lain dulu dan akan panggil dia (Najib) apabila sesuai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sidang media SPRM mengenai tindakan terkini berkenaan kes 1MDB di Putrajaya hari ini.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Ambrin Buang pada 28 Jan lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Mindef dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Berkenaan isu helikopter, Azam berkata dua individu daripada syarikat yang terlibat menerima projek berkenaan direman selama enam hari bermula tiga hari lepas.

Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).