Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein mengharapkan tindakan Ahmad Zahid Hamidi kembali memimpin parti itu tidak akan mengundang keadaan pecah belah.

“Dari segi perlembagaan parti memang Datuk Seri Ahmad Zahid berhak untuk kembali memimpin (parti).

“Keputusan juga telah dibuat dan penting untuk parti melihat kepada kesatuan dan kedudukan parti itu sendiri.

“Jangan perkembangan terkini membuka ruang yang lain untuk kita bertelegah sesama kita,” kata anggota Parlimen Sembrong kepada pemberita di lobi parlimen.

Hishamuddin yang juga bekas menteri pertahanan mengharapkan Umno akan tetap utuh dengan kepulangan Zahid.

"Saya mahu melihat parti kukuh, kita sekarang berada dalam kedudukan yang baik berbanding tahun lalu," tambahnya lagi.

Zahid semalam mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno setelah bercuti kira-kira enam bulan.

Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas pada 18 Disember lalu ketika desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah pimpinannya.

Zahid, seperti bekas perdana menteri Najib Razak, kini berdepan banyak pertuduhan rasuah di mahkamah.