Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan telah berpisah dengan isterinya, Dr Imaan Abdul Rahim.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, keputusan itu diambil melalui persetujuan kedua-dua belah pihak antara dia dan bekas isteri.

“Saya ingin memaklumkan Imaan dan saya telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan kami.

“Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami.

“Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, biarpun berpisah, dia dan bekas isterinya akan menjaga dan membesarkan anak mereka, Nik Ilhan secara bersama-sama.

Selain itu, Nik Nazmi turut meminta semua pihak menghormati ruang peribadinya dan keluarganya dalam melewati tempoh perpisahan tersebut.

“Kami fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak kami dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama.

“Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini,” katanya lagi.

Nik Nazmi yang berusia 37 tahun itu merupakan bekas Adun Seri Setia selama dua penggal sebelum menjadi anggota parlimen Setiawangsa.

Dia pernah berkhidmat selaku setiausaha sulit kepada Anwar Ibrahim sebelum dilantik menjadi exco Pemuda PKR (AMK) pada 2007.

Pada pemilihan parti 2014, beliau telah dipilih sebagai ketua pemuda PKR yang ketiga selepas Ezam Mohd Nor dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Nik Nazmi merupakan calon paling muda bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 (208), dan menang di Seri Setia sebelum bertanding di Setiawangsa dan memenangi kerusi parlimen dalam PRU lepas.