Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan melaksanakan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung urus niaga mata wang asing (Forex) melibatkan Bank Negara pada 1990-an.

"Ia adalah satu perkara yang serius kerana RM30 bilion kerugian ditanggung kerajaan kerana perdagangan forex yang kita tidak sepatutnya terlibat sejak awal lagi," kata bekas menteri kewangan itu.

"Apa sahaja yang dicadangkan oleh RCI perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan, adil atau tidak? Jika tidak, mengapa perlu ada RCI?" katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan mengklasifikasikan perkara itu sebagai "tiada tindakan lanjut".

Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata terdapat kekurangan bukti berdokumen bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Malah katanya Setiausaha RCI Yusof Ismail juga telah menarik balik laporan polis yang dibuat pada 30 Novermber 2017.

Dalam laporan setebal 528 muka surat yang dibentangkan di parlimen pada 30 Nov 2017, RCI mendakwa menteri kewangan pada masa itu telah mengelirukan kabinet.

Suruhanjaya itu juga percaya Perdana Menteri pada masa itu telah memberi lampu hijau terhadap kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan menteri kewangan.

Menteri kewangan pada masa itu adalah Anwar Ibrahim manakala perdana menteri ialah Dr Mahathir Mohamad.

RCI Forex diadakan ketika serangan bertali arus Mahathir terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.