Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji punca kepada isu jenayah yang melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Merujuk kepada kes yang berlaku di Batu Gajah dan Taiping, Perak baru-baru ini, timbalan menterinya Hannah Yeoh berkata lebih penting sekiranya kajian dilakukan terhadap apa yang berlaku dalam keluarga tersebut kerana ia tidak mencukupi hanya sekadar menangkap pelaku jenayah tersebut.

"Selalunya perkara ini berlaku apabila kita ada communication breakdown (masalah komunikasi) di mana ahli keluarga tidak bercakap (sesama sendiri), tiada orang pantau, anak-anak tidak dididik.

"Saya nak tunggu laporan dulu dan kita tengok apa yang membuatkan keluarga itu menjadi seperti itu.

"Tapi seperti trend yang lain saya lihat, keluarga itu sama ada bapa tak ada, ataupun ibu tunggal, ibu kena cari pekerjaan dan anak-anak dibiarkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini seorang murid lelaki tahun enam yang berusia 12 tahun dari Batu Gajah, Perak, ditahan reman sehingga esok kerana didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang diasuh ibunya.

Manakala, di Taiping pula, seorang remaja perempuan bersama teman lelakinya membunuh abang sendiri, sebelum membungkusnya dan meletakkan mayat mangsa di belakang sebuah rumah kosong gara-gara telefon bimbit.

Bagaimanapun, ahli parlimen Segambut itu berkata, laporan berhubung kedua-dua insiden tersebut masih ditunggu.

"Kes-kes seperti ini, apa yang kita nak lihat adalah bukan sahaja tindakan dilakukan terhadap orang yang melakukan jenayah tersebut tapi rehabilitasi itu sangat penting," katanya.