Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pelawaan beliau supaya parti politik Melayu menyertai Bersatu cuma menyasarkan kepada anggotanya dan bukan suatu jemputan bagi parti berkenaan menjadi sebahagian gabungan PH.

“Pakatan Harapan tidak dapat menerima (kemasukan) parti-parti lain lagi. Sekiranya kami menerima lebih banyak lagi parti, maka akan terdapat masalah memilih calon untuk pilihan raya. Semua (parti) mahukan calon mereka.

"Jika mereka (anggota) menyertai parti-parti (PH) sedia ada, maka ia tiada masalah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Mahathir juga sempat berseloroh mengadu beliau sampai sakit belakang kerana "dibelasah" susulan pelawaannya supaya parti Melayu masuk Bersatu itu.

"Ini bukan rasis punya sentimen, kita nak menyamakan semua orang.

"Kalau tengok Melayu ketinggalan di belakang sebabnya bukan parti. Bukan kerana saya. Tapi sebab tak mahu bersatu.

"Parti kita nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Lebih baik bersatu, kalau tidak kena gugurkan perkataan Bersatu," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Mahathir mempelawa semua parti-parti Melayu, termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu.

Katanya, pelawaan itu merupakan usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Ia berikutan kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis, jelasnya lagi.