Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kejadian wartawan bukan Melayu diusir daripada membuat liputan mesyuarat Umno bahagian Lembah Pantai, Kuala Lumpur semalam sebagai "kesilapan teknikal".

"Ia kesilapan teknikal, tak disengajakan.

“Bagi saya tak ada niat tak baik dari pengerusi majlis hari itu kepada media berkaitan," katanya kepada pemberita di Parlimen.

Semalam, wartawan dan jurugambar bukan Melayu dikatakan diminta meninggalkan mesyuarat itu oleh pengacara sejurus sebelum acara bermula pada kira-kira jam 2 petang di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya.

Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan persidangan orang Melayu dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan perasmian mesyuarat oleh Ismail.

Katanya, dia berpendapat pengerusi majlis itu jujur meminta pihak yang tidak berkenaan untuk keluar daripada majlis tertutup berkenaan.

Bagaimanapun, dia mengakui cara penyampaian pengerusi itu mungkin tidak sesuai sehingga menyinggung sesetengah pihak media.

"Dari segi penyampaian tu, mungkin agak tak sesuai bila sebut seperti itu.

"Sepatutnya sebut sesiapa yang tak berkenaan, bukan perwakilan, bukan pemerhati, tak mempunyai pas, sila keluar - tak kiralah media ke, siapa, kena keluarlah.

“Hormati mesyuarat tertutup tersebut," katanya.

"Bila dia keluarkan perkataan itu yang agak sensitif, saya percaya dan saya pun faham media yang dengar perkataan itu mesti sensitif," tambahnya lagi.