Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul pembangkang untuk merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ini berikutan kenyataan Lim bahawa dana untuk pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah "dirompak".

"Saya mendapati tidak terdapat unsur prima facie (bahawa) YB Bagan telah mengelirukan Dewan, dan oleh itu tidak terjatuh di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12)," katanya.

Ariff berkata beliau juga telah meneliti kandungan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang telah dikeluarkan awal minggu ini.

Susulan itu anggota parlimen BN dan PAS keluar daripada dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan speaker.

Usul untuk merujuk Lim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dikemukakan oleh ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob selepas laporan PAC mendapati bayaran balik GST tidak hilang.

Ismail berkata beliau tidak mempertikaikan prosiding PAC, sebaliknya perkataan digunakan Lim yang mendakwa bayaran balik GST telah "dirompak" dan "dicuri".