Selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan pengesanan wajah pelaku dalam video seks yang melibatkan seorang menteri adalah negatif, Umno pula menyelar hasil keputusan berkenaan.

Setiausaha Agungnya Annuar Musa berkata cukup sekadar memberitahu ketulenan video tersebut dan tidak perlu mengesahkan wajah pelaku dalam video tersebut kerana rakyat yang menentukannya.

“Video tulen tetapi muka tidak cam, perompak pula cepat kau cam. Berhentilah berlakon, rakyat tidak bodoh. Terima kasih KPN kerana mengesahkan video tulen.

“Cukup sekadar katakan video berkenaan tulen. Soal pengecaman, biar rakyat yang cam. Kita bimbang video itu tidak tulen, bimbang ada tekonologi terbaru digunakan.

“Tidak perlu KPN sahkan siapa dalam video itu, biar rakyat sahkan siapa dia,” katanya lapor FMT sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilam Umno Bahagian Kota Raja semalam.

Pada 18 Julai lalu, Abdul Hamid berkata analisis Cybersecurity Malaysia mendapati video seks berkenaan adalah tulen, namun proses pengecaman wajah adalah negatif.

Bulan lalu, video seks sejenis yang menampilkan dua lelaki disebarkan oleh individu tidak dikenali kepada ahli-ahli politik dan wartawan.

Selepas itu, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mendakwa beliau adalah lelaki dalam video itu dan mendakwa pasangannya adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Azmin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.