Tanpa menyebut sebarang nama, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata kesetiannya ada batasan dan sedia untuk berdepan dengan pihak "yang pernah dikenalinya".

Ucapan itu disampaikan ketika Majlis Doa Kesyukuran untuk Mohamed Azmin Ali, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, malam tadi.

"Saya berjanji apa pun serangan yang dilemparkan saya tetap akan bangkit melawan. Biarkan saya sebatang kara.

"Biarkan saya berlawan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini. Kesetiaan kita ada batasnya," katanya kepada lebih seribu hadirin yang menyertai program itu.

Antara pemimpin PKR yang hadir ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Adun Gombak Setia Hilman Idham; Exco Pulau Pinang, Afif Bahardin; Naib Presiden PKR Tian Chua, Exco Selangor Elizabeth Wong, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Timbalan Speaker Rashid Hasnon dan Khalid Jaafar.

Selain itu Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya dan Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong setia Mahathir, turut hadir.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau sedia menerima ujian yang menurutnya bukan baru buat dirinya - sejak 1998 - walaupun berharap perkara sama tidak lagi berulang.

"(Tetapi) kerana nafsu serakah dan kerakusan manusia sanggup membunuh karier politik seseorang.

"Saya tak akan berganjak, walapun saya dihina dan diaibkan seberapa lama, dengan doa dan sokongan rakyat Malaysia saya akan berdiri tegak," katanya.

"Dosa saya hanya satu, saya ini bukanlah boleh dicucuk hidung, bukan boleh diheret begitu saja," katanya lagi.

Pada masa sama beliau menyuarakan rasa syukurnya apabila Ketua Polis Negara Abdul hamid Bador mengesahkan pelaku dalam video seks itu bukanlah dirinya.