Pesara tentera boleh dijadikan sumber tenaga kerja bagi menggantikan pekerja asing dalam industri tertentu, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata golongan itu mempunyai kepakaran yang tinggi selain sudah dilatih dalam soal disiplin.

"Veteran ATM ialah lubuk sumber manusia. Mereka berdisiplin tinggi dan ada mutu kepimpinan serta pentadbiran. Jika mereka diambil kerja, ia boleh menjimatkan kos serta tidak memerlukan latihan yang banyak.

"Misalnya kebanyakan veteran ATM ada kepakaran membawa jentera berat," katanya sambil berkata pemain industri dalam bidang itu boleh menjadikan golongan itu sebagai alternatif kepada pekerja asing.

Dzulkarnain berkata demikian dalam Majlis Dialog Perwira kertas putih sesi ke-3 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Pada 23 Disember lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pihak swasta turut sama terlibat dalam soal kebajikan pesara tentera dan boleh berbuat demikian dengan mengambil mereka bekerja.

Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata terdapat hampir 369,000 pesara ATM yang perlu diberi peluang 'kerjaya kedua' dan ia mencakupi pelbagai bidang.

“Sebagai contoh, seorang berpangkat koperal mempunyai pengalaman minimum menjaga urus sekurang-kurangnya sepuluh anggota di bawahnya.

“Dengan pendedahan kepada industri, golongan veteran tentera boleh menjadi pekerja berkemahiran tinggi dalam industri yang tiada tenaga kerja mencukupi," katanya lagi.