Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mempersoalkan mengapa Wan Ji Wan Hussin masih boleh berceramah bebas walaupun telah disabitkan bersalah menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahya berkata, tindakan Wan Ji yang berceramah di sebuah Masjid Ahad lalu seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, situasi berkenaan membuatkannya merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak lain berada di belakangnya.

“Saya nak sebut ‘TST’ iaitu tahu sama tahu. Saya rasa saya pernah dialog dengan dia, saya tak mahu nyatakan lebih dari itu tapi saya yakin dia tak bergerak berseorangan.

“(Sila) tafsir sendiri (siapa pihak itu), bagi saya, saya tak rasa dia tak gerak sendirian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kempen Membeli Produk Muslim dan menandatangani usahasama antara Ummah Kohilal – Ummah dan Abata di Hotel Putra Kuala Lumpur hari ini.

Aminuddin juga turut diminta menyebut siapa yang cuba mengaturkan Wan Ji untuk berbuat demikian, beliau bagaimanapun hanya menjawab ringkas “itu buatlah andaian sendiri”.

Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Ummah adakah akan terus menerjah program Wan Ji seperti dilakukan di Melaka baru-baru ini.

Ahad lalu Ummah mengadakan bantahan di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.

Bagaimanapun kuliah itu - yang bertajuk Islam sebagai agama penyelamat kepada umat - diteruskan selepas sejumlah anggota polis berjaya menyuraikan kumpulan yang membantah di dalam masjid.

Mengulas lanjut, Aminuddin mahu melihat kejadian itu dalam konteks yang lebih besar dan menyifatkan ia seolah-olah ia strategi provokasi.

“Dia (pihak tersebut) tahu orang tu (Wan Ji) macam tu, dia tonjolkan lagi (Wan Ji), ini seolah-olah mencabar umat Islam,” katanya.

Aminddin juga berkata Ummah tidak menghalang Wan Ji untuk berceramah namun jangan hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja.

“Kita tak boleh nak halang cuma bagi saya (jika) berlaku lagi peristiwa seperti di Melaka kita jangan salahkan sebelah pihak. Itu sangat penting bagi saya.

“Sekarang orang nampak demo itu salah tapi pengurusan masjid dan sikap ustaz (Wan Ji) itu sendiri yang masih nak berceramah,” katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas Wan Ji berhubung dakwaan itu.