Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang melakukan lawatan rasmi ke Turki, hari ini diberi sambutan rasmi di Kompleks Presiden di Ankara, Turki.

Ketibaan Dr Mahathir, yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, disambut oleh Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan.

Sejurus itu, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Dr Mahathir memeriksa perbarisan hormat oleh anggota tentera Turki.

Selepas upacara sambutan rasmi, Dr Mahathir dan Erdogan dijadual mengadakan mesyuarat empat mata sebelum diikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Turki.

Dr Mahathir dan Erdogan akan mengeluarkan kenyataan bersama kemudiannya.

Sementara itu, Presiden Turki itu juga akan menghoskan jamuan malam rasmi bagi meraikan Dr Mahathir dan isteri sempena lawatan ke negara itu.

Dr Mahathir memulakan lawatan rasmi empat hari ke Turki pada Rabu atas jemputan presiden negara itu.