Barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dipercayai dilarikan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di Ipoh awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak ACP Anuar Othman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an sedang dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta untuk dihantar ke Kelantan.

"Setibanya di jalan ini, satu daripada kereta yang sedang membawa barang kemas itu untuk dipasarkan ke negeri berkenaan dilanggar sebuah lori.

"Pemandu lori bertopeng itu kemudian turun bersama seorang lagi suspek dengan membawa parang dan menyamun empat beg berisi barang kemas berkenaan yang disimpan di dalam kedua-dua kereta bersama dua lagi suspek yang dipercayai menaiki kenderaan lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Ipoh hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pantas dalam tempoh lima minit dengan suspek meninggalkan lori berkenaan di tempat kejadian.

Katanya pemeriksaan mendapati lori yang digunakan itu dilaporkan baru dicuri di sekitar Klang, Selangor awal pagi tadi.

"Kami percaya kes ini sudah dirancang dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Anuar berkata pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian dan telah menggerakkan elemen-elemen pasukan bagi mengesan kesemua suspek.

Beliau berkata seorang daripada mangsa cedera dan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama