Najib Razak mendakwa Pejabat Umno Bahagian Pekan pernah ditembak oleh penembak tepat (sniper) sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kata Najib yang juga merupakan ahli parlimen Pekan, kejadian pada awal 2017 itu membuatkan kawalan keselamatan peribadinya sebagai perdana menteri ketika itu menjadi lebih ketat.

Berkongsi insiden itu ketika berucap di Wacana Ilmu: Hard Truth: Cash is King di Kuala Lumpur, Najib berkata tembakan itu disasarkan di tepi kaca cermin bilik pejabatnya.

“Ia seolah-olah satu amaran kepada saya. Tembakan disasarkan ke arah bilik saya di pejabat Umno Pekan," katanya.

Namun, kata Najib, beliau tidak berada di pejabat berkenaan ketika kejadian itu.

“Saya tidak pernah mendedahkan insiden ini. Tapi, sejak itu kawalan keselamatan kepada saya diketatkan lagi.

“Menjadi perdana menteri bukan senang. Ada banyak protokol. Ada UTK (Unit tindakan khas). Banyak lagi,” tambahnya.

Najib turut mendakwa bahawa perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis, namun sehingga kini polis belum dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Ya, laporan polis telah dibuat. Tapi, pihak polis tak dapat mengenal pasti siapa puncanya.

“Kes diletakkan sebagai NFA (tiada tindakan lanjutan),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas insiden tersebut.