Program jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan bukan bermotifkan politik dan tidak membawa sebarang keuntungan kepada PAS, tegas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

"Beliau (Zakir) seorang pendakwah bebas, dia datang dan tak pernah pun buat kenyataan umum menyokong parti kita. Di mana untungnya PAS.

"Sedangkan beberapa kali dia puji (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad), berapa kali dia puji kerajaan Malaysia. Dan kita tak ada rasa apa-apa pun," jelasnya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program selama tiga hari yang diatur untuk pendakwah antarabangsa itu digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan ilmu agama.

Selain itu katanya, melalui program tersebut, rakyat Kelantan dapat menzahirkan solidariti terhadap Zakir susulan kontroversi dan isu penghantaran pulang dihadapi pendakwah itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak yang berpendapat penganjuran program bersama Zakir itu mempunyai motif politik.

Mohamed Fadzli yang juga exco pembangunan insan, pendidikan, pengajian tinggi dan teknologi maklumat Kelantan berkata, apa yang penting matlamat penganjuran program tercapai dan mendapat sokongan segenap masyarakat.

"Apabila kita jemput Dr Zakir Naik untuk ceramah agama itu memang serasi dengan kerajaan Kelantan. Sebab jiwa kita adalah jiwa agama.

"Yang hadir ke program bukan saja orang PAS, orang Umno pun ramai, orang PH pun ada terdiri daripada peminat-peminat beliau. Nak kata menguntungkan politik PAS, untung di mana?" katanya.

Tegas anggota dewan undangan (Adun) Temangan itu, matlamat politik sama sekali tidak ada dalam penganjuran program tersebut.

"Apa yang penting matlamat kita untuk bawa dia datang ke Kelantan tercapai, matlamat kita untuk bersolidariti tercapai dan matlamat kita untuk melihat kehebatan kaedah dakwahnya juga tercapai," kata Mohamed Fadzli.