Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu petang ini mengisytiharkan kerusi parlimen Kimanis yang dimenangi oleh bekas Menteri Luar Anifah Aman pada pilihan raya umum lalu adalah terbatal dan tidak sah.

Dihubungi kemudiannya, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Harun mengesahkan perintah itu dan berkata bahawa dia telah dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh pegawai SPR yang hadir di mahkamah.

"Mahkamah mengumumkan bahawa kemenangan itu tidak sah dan terbatal. Mahkamah mengketepikan keputusan pilihan raya, dan memerintahkan supaya pilihan raya kecil diadakan," katanya kepada Malaysiakini.

Susulan keputusan PRU14 itu, calon Warisan Karim Bujang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabarnya, namun Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu pada 19 November tahun lalu, menolak petisyen itu.

Karim kemudian membuat rayuan dan pada 18 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan petisyen pilihan raya parlimen Kimanis yang difailkanitu dibawa semula kepada Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu untuk dibicarakan.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi berbanding Karim dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.