Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan mesyuarat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan jemaah menteri semalam adalah untuk membincangkan rombakan kabinet.

Sebaliknya, kata beliau mesyuarat mingguan kabinet itu adalah untuk membincangkan urusan kerajaan.

“Mungkin saudari rujuk dengan perjumpaan Tun (Dr Mahathir) dengan menteri-menteri kerajaan semalam.

“Itu adalah berkaitan dengan urusan kerajaan , tak ada kaitan dengan apa yang disebut saudari tadi, ini tak dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini selepas mesyuarat kumpulan fokus Belanjawan 2020 perumahan mampu milik.

Lim berkata tidak pernah ada perbincangan mengenai rombakan kabinet sebelum ini.

"Bukan hanya semalam, tetapi sebelum ini pun tidak pernah dibangkitkan," katanya.

Lim, yang juga setiauasha agung DAP turut menafikan bahawa partinya ada menyerahkan senarai calon menteri baru DAP kepada perdana menteri.

Katanya, perkara itu tidak benar sama sekali.

“Dari pihak DAP senarai adalah kekal seperti yang sedia ada, kami tidak hantar sebarang nama baru. Perkara ini (rombakan kabinet) adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Dr Mahathir sudah jawap banyak kali, saya harap kamu semua (wartawan) boleh rujuk apa yang perdana menteri jawap sebelum ini. Saya bukan perdana menteri,” katanya

Spekulasi bertiup kencang bahawa kononnya Dr Mahathir ada membincangkan perkara itu dengan Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang hadir pada sidang akhbar yang sama juga menyangkal bahawa hal rombakan kabinet tidak dibangkitkan dalam mesyuarat semalam.