Kerajaan tidak mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan memperkenalkan perkhidmatan GoJek di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata inisiatif digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu baru pada peringkat cadangan untuk diperhalusi dari semua sudut, termasuk undang-undang.

Malah setakat ini, beliau berkata, belum ada kertas Jemaah Menteri yang membenarkan pelaksanaan GoJek di Malaysia.

“Itu (cadangan pelaksanaan) adalah perkara dibangkitkan (dalam mesyuarat Kabinet) sama ada kita boleh mewujudkan GoJek. Secara prinsip, konsensus Kabinet tidak menghalang dengan syarat tertentu.

“Sebagai contoh, kita tidak boleh meletak GoJek di lebuh raya PLUS, justeru ia perlu diperhalusi secara prinsip.

“Kita tidak akan melaksanakannya secara mudah, perlu ada undang-undang dan peraturan. Begitu juga kawasan mana sesuai dan sama ada ia digunakan untuk menghantar makanan atau membawa penumpang. Itu semua perlu diteliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd, di sini, hari ini.