Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan kerajaan PH kini semakin bergerak jauh daripada kesederhanaan, sebaliknya menganggap dakwaan itu datang daripada persepsi orang ramai.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya hari ini perdana menteri berkata memang ada cubaan untuk memecah-belahkan gabungan itu menggunakan isu tertentu.

"Dan sesetengah ahli (PH) - yang bukan anggota kabinet - membuat kritikan terhadap kepemimpinan.

"Nampak macam ada rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sekarang. Mereka terfikirkan mengenai beberapa perubahan," katanya.

Namun menurut Mahathir, langkah itu adalah tidak baik kerana ia boleh menyebabkan gabungan berkenaan akan terpecah.

"Penting untuk kita menunjukkan bahawa (gabungan ini) bersatu dan kita mematuhi semua janji yang dibuat semasa membentuk kerajaan," tambah beliau.