Kerajaan bersetuju untuk memindahkan kuasa melantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada perdana menteri kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Ketua Pengarah Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Abu Kassim Mohamed memaklumkan kerajaan juga bersetuju bahawa pemecatan atau penamatan jawatan ketua badan pencegah rasuah perlu diputuskan oleh sebuah badan bebas dan bukan mengikut kehendak perdana menteri.

Jelasnya, ia sama seperti tribunal yang ditubuhkan untuk menyingkirkan seseorang hakim.

"Pemecatan ketua pesuruhjaya SPRM perlu dibuat selaras dengan pelucutan jawatan seorang hakim, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa.

"Salah satu inisiatif (kami) adalah memastikan pelantikan dan pemecatan ketua pesuruhjaya perlu diamalkan seperti Deklarasi Jakarta, di mana perlindungan diberikan kepada tempoh ketua pesuruhjaya.

"(Hanya selepas itu), mereka akan merasa bebas dalam mengambil tindakan tanpa rasa takut untuk melakukan tugas mereka, " katanya ketika sesi soal jawab pada suatu majlis forum anti-rasuah di Kuala Lumpur.