Kerajaan akan sentiasa menghormati dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong pagi ini, Mahathir juga berkata kerajaan akan melindungi kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, dan hak-hak Bumiputera dan kaum-kaum lain seperti termaktub dalam perlembagaan.

"Kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

"Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipertahan dan dipelihara.