MACAM tunggang kuda liar!

Itu kata pelumba negara, Muhammad Alif Ashraf Tahiruddin, 17, apabila berpeluang menunggang jet ski di Pantai Joe Amarena, Pesaro, Itali.

Ia merupakan antara aktiviti pada hari kedua program Kem Master VR46 Yamaha edisi kelapan yang disertainya di Tavullia, Itali, baru-baru ini.

“Amat menyeronokkan. Tidak sangka lebih mudah membelok daripada mengekalkan jet ski untuk bergerak lurus ke depan.

“Apabila merempuh ombak, ia melompat tinggi, syok!” katanya.

Selain Muhammad Alif Ashraf dari Yamaha Motor Malaysia, aktiviti berkenaan turut disertai Sawapol Nillapong, 16, dan Suttipat Patchareetorn, 18, (Yamaha Motor Thailand); McKinley Kyle Paz, 18, (Yamaha Motor Filipina) serta Jake LeClair, 18, (Yamaha Motor Kanada).

Mereka diberikan tunjuk ajar oleh peluncur profesional yang juga pakar jet ski, Alessandro Marcianò menggunakan jentera Yamaha EX Deluxe WaveRunner.

Sebelum itu, kesemua mereka berlatih selama dua jam dengan motosikal lasak Yamaha YZ125 bersama pelumba Moto2, Stefano Manzi.