Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana menegur penggunaan bahasa Cina untuk acara dihadirinya.

Nga berkata beliau menerima teguran itu dan telah menjelaskan secara peribadi perkara itu kepada Maszlee.

“Terima kasih ke atas keprihatinan menteri pendidikan. Saya berasa terharu ramai orang sayang saya.

“Mana-mana saya pergi pun orang perhatikan, memantau mana saya pergi,” kata anggota parlimen Teluk Intan.

Nga berkata demikian ketika ditemui di Kuala Lumpur selepas acara berkaitan peranan parlimen bagi membendung keganasan di rantau Asia Pasifik.

Di Instagram, Nga sebelum ini memuat naik gambar kain rentang acara di sebuah sekolah Cina di Ayer Tawar, Manjung yang dijadual dihadir beliau, yang juga alumni di situ.

Maszlee bagaimanapun menulis komen bawah gambar itu yang meminta Nga menasihatkan pihak sekolah menggunakan bahasa Melayu.

"Maaf YB. Memandangkan logo kerajaan digunakan pada poster dan juga YB merupakan wakil kepada kerajaan, poster mestilah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Minta YB menegur pihak sekolah," tegur Maszlee.

Nga hari ini bagaimanapun menjelaskan kain rentang itu sebenarnya diletak oleh salah seorang bekas pelajar, bukan pihak sekolah.