Anggota Parlimen pembangkang menentang sekeras-kerasnya terhadap 24 pindaan baru dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat oleh Menteri Undang-undang Liew Vui Keong hari ini.

Anggota Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar berkata beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai anggota parlimen namun belum pernah melihat begitu banyak pindaan terhadap RUU baru itu.

"Ada 24 pindaan, kenapa tidak bawa ke jawatankuasa pilihan terlebih dulu, seperti yang biasa dilakukan?” kata Noh Omar selepas Liew selesai membentangkan RUU itu hari ini.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan mengatakan tidak wajar meminta anggota parimen terus berbahas kerana mereka hanya dimaklumkan pindaan berkenaan hari ini.

Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) juga mempertahankan bantahan tersebut, dengan mengatakan RUU IPCMC adalah berkaitan pasukan polis dan harus dikendalikan dengan hormat.

Sementara itu Azalina Othman Said (BN-Pengerang) menegaskan prosedur biasa untuk pindaan sedemikian adalah melalui jawatan kuasa pilihan terlebih dahulu.

Selain ahli parlimen pembangkang, Hassan Abdul karim (PH-Pasir Gudang) turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut dengan mengatakan ia seharusnya dibawa ke jawatankuasa pilihan khas parlimen.