Umno menganggap dakwaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Bhd mengenai punca akhbar tersebut dihentikan operasinya sebagai pendapat peribadi organisasi tersebut semata-mata.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata pandangan yang dilontarkan oleh NUJ Utusan Melayu itu adalah bersifat peribadi.

"NUJ bukan Utusan, NUJ juga bukan pihak yang membuat konklusi, NUJ adalah pertubuhan luar," katanya.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh itu berkata isu pemberhentian operasi akhbar bersejarah itu hanya boleh diulas oleh pihak pengurusan syarikat terbabit.

"Hanya penguruan Utusan yang berhak untuk mengeluarkan kenyataan, seterusnya lembaga pengarah.

"Kenyataan NUJ hanyalah pandangan peribadi," katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

NUJ cawangan Utusan Melayu semalam menyifatkan nasib malang yang menimpa syarikat itu adalah kesan kegagalan menghalang akhbar tersebut daripada dikuasai Umno pada awal 1960-an.

Malah, pengerusinya, Mohd Taufek Razak, berkata kebergantungan akhbar itu kepada parti politik juga merupakan kesan buruk buat Utusan Melayu.