Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata tidak ada sebab bagi dirinya meninggalkan parti itu kerana kedudukan beliau telah ditentukan oleh ahli-ahli parti yang memberinya mandat yang cukup selesa.

"Saya telah dipilih dan saya diberi mandat besar dalam PKR dan bukan saya sahaja, seluruh pasukan PKR kita dapat undi dua pertiga dalam pemilihan parti.

"Jadi tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti melainkan ada yang cemburu nak tendang saya keluar daripada parti. Itu terpulang kepada mereka.

"Tapi saya komited kepada parti dan akan tetap dalam parti dan bina parti dan sokong kepimpinan dan juga ahli," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Pada pemilihan parti 2018, Mohamed Azmin mengalahkan pencabarnya Rafizi Ramli dengan majoriti lebih 4,000 undi manakala Anwar Ibrahim pula menjadi presiden selepas menang tanpa bertanding.

Walau bagaimanapun hubungan Anwar dan Mohamed Azmin dikatakan menjadi semakin renggang khususnya selepas penyebaran video seks yang mengaitkan menteri hal ekonomi itu pada Jun lalu.