Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah memberi amaran kepada anggota parlimen Pakatan Harapan supaya hadir ke Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2020.

Amaran itu dikeluarkan walaupun beliau berkata sedia maklum berkaitan jadual ketat menterinya.

“Kita telah bincang perkara ini dengan kabinet secara mendalam. Kita dapati terkadang, contohnya menteri, di luar negeri kerana sekarang banyak mesyuarat antarabangsa mereka kena hadir.

“MP lain kadang ada kadang mereka tidak dalam dewan. Tapi siapa ada dalam bangunan ini (parlimen), mereka boleh dipanggil dengan goncang loceng.

“Dan kita bagi amaran kepada mereka supaya hadir,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata kegagalan anggota parlimen PH untuk berada dalam dewan semasa perbahasan Belanjawan 2020 menunjukkan mereka tidak berminat dengan apa yang disampaikan.

Malah Ismail Sabri berkata, apa yang berlaku pada hari itu adalah "sejarah hitam" dan detik "malang" buat parlimen apabila speaker terpaksa membunyikan loceng untuk mencukupkan kuorum.