PAS hari ini sekali lagi memberikan justifikasi mengapa parti itu memberikan sokongan penuh kepada calon MCA untuk bertanding di kerusi parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata gabungan pembangkang pada ketika ini perlu kepada "bukan Islam yang tidak ekstrem" untuk menyampaikan suara kepada kerajaan.

"PAS melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja (di Dewan Rakyat)," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Abdul Hadi memberi bayangan ketetapan itu bukan bersifat mutlak dan terbuka kepada pandangan yang lain pada masa depan.

"Untuk PRU (pilihan raya umum) akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar," katanya.

Kenyataan anggota parlimen Marang itu dibuat ketika PAS berdepan kritikan dan persendaan atas sikap mereka yang dianggap selalu berubah mengikut keperluan parti terbabit.