Hujan lebat sebelum perlawanan tidak melemaskan semangat pasukan bola sepak kebangsaan untuk mencuri tiga mata penting pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand menjadi mangsa Harimau Malaya apabila tewas 2-1 walaupun bermula dengan ketinggalan 0-1 seawal minit ke tujuh.

Gol Gajah Perang dijaringkan oleh Chanathip Songkrasin selepas kesilapan pemain pertahanan negara yang tidak mengawal pergerakannya di dalam kotak penalti sehingga berjaya menjaringkan gol.

Namun gol itu tidak bertahan lama apabila 'pemain terbaik perlawanan' semalam, Brendan Gan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Bermula babak kedua, aksi semakin rancak dengan Harimau Malaya berjaya mengimbangi penguasaan bola Gajah Perang.

Minit ke-56 , pemain Mohamadou Sumareh membuatkan penyokong Malaysia seramai lebih 26 ribu orang menjerit gembira dengan gol kedua skuad negara.

Keputusan 2-1 ini kekal sehingga tamat perlawanan, malah kemenangan ini turut menamatkan kemarau Malaysia setelah kali terakhir membenam Thailand pada 2014.

Selepas ini Harimau Malaya akan berdepan Indonesia di gelangggang sama pada 19 November ini dan ia satu lagi perlawanan wajib menang buat anak buah Cheng Hoe jika mahu melepasi kelayakan pusingan kedua.